RMK-9, ke arah visi negara membangun 2020

Malaysia telah membentangkan pelan ekonominya buat lima tahun kedepan. Rancangan Malaysia ke-9 ini diharapkan dapat membawa negara tersebut lebih dekat lagi kepada visi negara membangun 2020. Apakah antara fokus utama rancangan tersebut? Di Analisa.

“Sebagai … panduan bagi perjalanan seterusnya, kerajaan telah menggubal dan akan melaksanakan Misi Nasional, satu rangka kerja bagi agenda pembangunan negara dengan mengariskan langkah-langkah utama yang harus diambil bagi tempoh 15 tahun akan datang.”

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam menyampaikan Rancangan Malaysia ke-9, akan melaksanakan Misi Nasional, iaitu sebuah agenda pembangunan menjelang 2020. Ia meliputi lima teras utama, yang memberi tumpuan kepada kemajuan ekonomi negara, menghapuskan kemiskinan dan memperbaiki mutu kehidupan serta pentadbiran. Ini merupakan rangka tindakan ekonomi yang pertama bagi Datuk Seri Abdullah sejak beliau mengambil alih tampok pemerintahan 18 bulan lalu. Dalam hal ini, ia juga dilihat sebagai dokumen politik di mana kepimpinan Pak Lah akan teruji lagi. Profesor Syed Ahmad Hussin, pengamat politik dari Universiti Sains Malaysia berpendapat bahawa RMK-9 ini mempunyai tanda tangan yang tersendiri dari Perdana Menteri :

“Ini merupakan blueprint yang paling utama di dalam zaman baru perdana menteri Badawi, dan dari segi itu, ini dilihat oleh penganalisa dan ahli politik dan sebagainya, sebagai apa yang akan dilakukan oleh perdana menteri Badawi untuk masa hadapan Malaysia. Ada dua perkara tentang ini yang menarik bagi saya. Satu, perdana menteri Badawi menjelaskan rancangan Malaysia akan menuju kearah visi yang telah diperkenalkan oleh perdana menteri sebelumnya, iaitu Tun Mahathir ke arah Malaysia 2020, ke arah Malaysia negara maju. Dari segi itu, saya rasa tumpuan untuk memajukan Malaysia ke arah visi itu akan berterusan, tapi pada masa yang sama, dia juga, saya rasa akan mempunyai tanda tangan perdana menteri Badawi dalam erti kata, ia melihatkan pendekatan-pendekatan beliau yang fokus kepada beberapa perkara yang rapat kepada hati beliau. Ini termasuk pertanian, termasuk meningkatkan peranan Bumiputra, orang-orang Melayu dengan base yang agak lebih besar yang ditumpukan, saya rasa kepada bidang pertanian dan bidang-bidang industri kecil.”

Profesor Syed Ahmad Hussin, pengamat politik dari Universiti Sains Malaysia. Tun Dr Mahathir Mohd, dalam 22 tahunnya sebagai perdana menteri memberikan lebih banyak tumpuan kepada pembangunan prasarana negara. Bagaimana bezanya pula rancangan ekonomi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi? Mustafa Haji Mohd Nor, ketua pakar ekonomi dari Arab Malaysian Banking Group memberi pandangan :

“Kalau kita ambil yang beberapa tahun yang sudah, kita telah bina infrastruktur dan sebagainya, tapi yang masih belum lagi kita dapat beritahu yang kita berjaya sepenuhnya ialah membina infrastruktur dari segi human capital. Itu mustahak. Prime Minister yang sekarang ini tumpukan lebih banyak kepada human capital. Saya rasa itu memang satu fokus, satu strategi yang betul, dan terbaik.”

Satu lagi tumpuan yang berlainan berbanding dengan era Mahathir dahulu ialah dalam bidang pertanian. Dalam hal ini, Badawi mahu menjadikan industri pertanian sebagai enjin pertumbuhan negara yang ketiga terbesar selepas sektor pengeluaran dan perkhidmatan. Sebanyak 11.4 bilion Ringgit telah diperuntukkan bagi mengembangkan industri pertanian. Sebuah program pertanian baru akan diperkenalkan. Mustafa Haji Mohd Nor sekali lagi menerangkan mengapa industri pertanian penting bagi Malaysia :

“Kerana dalam kita bersaing dengan luar negara, kita akan cari kita punya competitive advantage, kita punya kelebihan, dan pada saya kelebihan Malaysia masih lagi dalam agriculture, tetapi yang ditumpukan bukan agriculture, old agriculture. Kita akan pergi ke lebih proses yang menambahkan value added. Itu yang penting.”

Mustafa Haji Mohd Nor, ketua pakar ekonomi dari Arab Malaysian Banking Group. Pembangunan dalam industri pertanian dijangkakan juga akan membantu Malaysia merapatkan jurang sosio ekonomi negara, sekali gus menghapuskan kemiskinan. Terdapat sekitar 1.3 juta petani dan pekerja dalam sektor pertanian di Malaysia. Mereka membentuk kira-kira 12 peratus tenaga kerja negara. Ramai kaum Melayu juga yang tinggal di kawasan luar bandar, dan mereka juga mewakili sebahagian besar pengundi parti pemerintah Umno. Profesor Syed Ahmad Hussin, pengamat politik dari Universiti Sains Malaysia menjangkakan Rancangan Malaysia ke-9 ini akan mendapat sokongan baik kaum Bumiputra:

“Kalau tumpuannya ialah kepada bidang yang banyak melibatkan orang Melayu, maksud saya ialah dalam bidang pertanian dan industri kecil, saya rasa ini akan membantu secara langsung kaum Bumiputra dengan bilangan yang lebih luas. Dari segi itu, saya rasa saya tidak nampak mengapa ianya tidak akan disambut baik oleh kaum Bumiputra.”

Profesor Syed Ahmad Hussin, pengamat politik dari Universiti Sains Malaysia.

Lebih dari program dan projek yang terkandung dalam Rancangan Malaysia ke-9, ia penting bagi Datuk Seri Abdullah menunjukkan arah tuju negara, serta mengemudi Malaysia menghadapi persaingan ekonomi luar dari gergasi China dan India. Terdapat 15 tahun lagi untuk Malaysia merealisasikan visi negara membangun 2020. Persoalan setakat manakah Rancangan Malaysia ke-9 akan membantu negara mencapai visi tersebut terletak kepada pelaksanaannya sekarang.

Sekian Analisa buat kali ini. Saya Saifulbahri Ismail dari Radio Singapura Internasional bagi hal ehwal semasa Radio MediaCorp, mengucapkan salam hormat.

source: RSI.org

If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

Comments

Belum ada komentar.

Tinggalkan komentar

(wajib)

(wajib)